TEKAN INI!!

Friday 9 May 2014

DON'T ISBAAL!!



Menurut Bahasa Arab: Labuh dan panjang (Lisaan Al-Arab, 6/163). Menurut istilah syarak: Melabuhkan pakaian dan memanjangkannya sehingga melebihi had yang telah ditetapkan syarak (Al-Isbaal oleh Dr Saad Al-Khathlaan).

Ini bererti
isbaal boleh terjadi dalam apa jua bentuk pakaian; jubah, sarung, seluar, baju, serban dan sebagainya. Sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW: “Isbaal dalam kain (sarung), baju dan serban; barang siapa menarik (melabuhkan) jubahnya kerana sombong ALLAH tidak akan melihatnya pada hari kiamat.” (Sahih - Abu Daud)

Berkata Ibnu Hajar: “Berkata Al-Tabari: Dalam nas disebut izaar (kain) kerana kebanyakan mereka pada zaman Rasulullah SAW memakai izaar dan ridaa’ (jubah). Maka apabila masyarakat mula memakai baju dan seluar; hukumnya adalah hukum izaar daripada sudut pantang-larangnya.” (Fathulbari, 10/262)



Larangan isbaal



Adapun pakaian seperti jubah, kain, seluar dan seumpamanya; apa yang melebihi bawah buku lali adalah isbaal manakala apa yang sampai ke buku lali atau di atas buku lali tidak termasuk dalam isbaal. Sebagaimana sabda Nabi SAW: “Apa yang di bawah kedua buku lali daripada kain adalah dalam neraka.” (Riwayat Bukhari)

Juga sabda Baginda SAW: “Kain seorang mukmin adalah sehingga pertengahan kedua betisnya; tidak ada halangan buatnya untuk sampai di antara pertengahan betisnya dan kedua buku lalinya; apa jua di bawahnya adalah dalam api neraka.”  (Sahih - Riwayat Abu Daud)

Ini adalah bagi golongan lelaki secara khasnya. Adapun bagi kaum wanita, dalam Riwayat Ibnu Omar RA, dia berkata: “Sabda Nabi SAW, “Barang siapa menarik (melabuhkan) jubahnya kerana sombong ALLAH tidak akan melihatnya pada hari kiamat kelak.” Berkata Umm Salamah RA: Bagaimana wanita menguruskan bahagian bawah jubahnya? Jawab Baginda, “Labuhkan ia sebanyak sejengkal.” Kata Umm Salamah:

Kalau begitu akan ternampak kakinya. Jawab Baginda, “Maka labuhkan sebanyak sehasta dan jangan lebih daripada itu.” (Sahih - Riwayat Imam Tirmizi)

Walaupun ada yang menganggap bahawa larangan isbaal adalah khas buat lelaki tetapi hadis di atas secara jelas menunjukkan bahawa wanita juga termasuk dalam larangan ini. Cuma terdapat perbezaan dari sudut had labuh pakaian antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, isbaal adalah di bawah kedua buku lali manakala wanita adalah apa yang melebihi sehasta dari kedua buku lalinya.

Isbaal kerana sombong atau tidak sombong

Para ulama telah sepakat dalam pengharaman isbaal jika sekiranya ia adalah kerana sombong. Adapun kalau bukan kerana sombong, para ulama berbeza pendapat dan sebahagian mereka turut mengharamkannya juga.

Pendapat mereka ini disokong hadis Huzaifah bin Al-Yaman RA di mana Rasulullah SAW mengatakan “Ini adalah batas kain” sambil mengisyaratkan kepada pertengahan betis. Lalu Baginda mengatakan, “Sekiranya engkau berdegil maka di bawahnya dan sekiranya engkau berdegil juga maka tidak ada hak bagi kain untuk dilabuhkan lebih dari bawah kedua buku lali.” (Sahih - Riwayat Tirmizi)

Baginda jelas tidak membenarkan pakaian dilabuhkan lebih daripada bawah buku lali tanpa menyebut sama ada kerana sombong atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa larangan isbaal adalah umum tidak terikat dengan sifat sombong.

Perkara ini dijelaskan lagi dalam hadis Baginda SAW: “Apa yang di bawah kedua buku lali dari kain adalah dalam neraka.” (Riwayat Bukhari)

Juga sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya ALLAH Ta’ala tidak melihat orang yang mengisbalkan kainnya.” (Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW: “Tiga golongan yang ALLAH tidak akan berbicara dengan mereka pada hari kiamat, tidak akan melihat mereka, tidak akan memuji mereka dan bagi mereka azab seksa yang pedih; orang yang isbaal, pengadu domba dan orang yang menjual barangannya dengan sumpah yang palsu.” (Riwayat Muslim)

Syubhah dan jawapan

1) Hadis larangan isbaal secara umum telah dikhaskan oleh hadis yang melarang isbaal kerana sombong. Maka isbaal hanya haram jika ia dilakukan kerana sombong?

Jawapan: Keumuman hadis larangan isbaal tidak boleh dikhaskan dengan hadis yang mengaitkan larangan isbaal dengan sifat sombong.

Keumuman larangan isbaal seperti dalam hadis, “Apa yang di bawah kedua buku lali dari kain adalah dalam neraka” tidak boleh dianggap sebagai nas mutlak yang dikhaskan oleh hadis, “Barang siapa menarik (melabuhkan) jubahnya kerana sombong…”

Ini kerana Nabi SAW telah menghimpunkan antara kedua-dua bentuk isbaal kerana sombong dan tanpa sombong dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Saeed Al-Khudari RA di mana Nabi SAW bersabda:

“Kain seorang mukmin adalah sehingga pertengahan kedua betisnya; tidak ada halangan buatnya untuk sampai antara pertengahan betisnya dan kedua buku lalinya; apa jua di bawahnya adalah dalam api neraka; dan ALLAH tidak akan melihat pada hari kiamat mereka yang enarik (melabuhkan) kainnya kerana sombong.” (Sahih- Riwayat Abu Daud)

Maka sama ada kerana sombong atau tidak kedua-duanya adalah haram. Cuma sebagaimana dalam hadis di atas, dapat difahami bahawa dosa mereka yang isbaal kerana sombong adalah lebih berat berbanding mereka yang tidak sombong.
2)  Isbaal hanya dilarang ketika solat?

Jawapan: Larangan isbaal tidak khas ketika dalam solat sahaja. Ini kerana hadis, “Sesungguhnya ALLAH tidak menerima solat lelaki yang mengisbalkan kainnya” daripada Riwayat Abu Daud adalah daif. Bukan sahaja hadisnya daif bahkan sebagaimana dalam hadis-hadis yang telah disebutkan, larangan isbaal adalah umum merangkumi pakaian ketika dalam solat dan di luar solat.

3)   Isbaal kerana sombong sahaja yang dilarang kerana Nabi SAW mengatakan kepada Abu Bakar RA, “Engkau tidak melakukannya kerana sombong”.

Jawapan: Kenyataan Nabi SAW, “Engkau tidak melakukannya kerana sombong” tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi membolehkan isbaal atas alasan tidak sombong.

Dalam hadis di atas, Nabi SAW bersabda, “Barang siapa menarik (melabuhkan) jubahnya kerana sombong ALLAH tidak akan melihatnya apa hari kiamat kelak.” Berkata Abu Bakar RA: Wahai Rasulullah! Sebahagian kainku turun melabuh kecuali sekiranya aku menjaganya. Jawab Baginda, “Engkau tidak melakukannya kerana sombong.” (Riwayat Bukhari)

Kenyataan Abu Bakar ra jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mengisbalkan kainnya secara sengaja. Walaupun beliau sedaya upaya cuba memastikan agar ia tidak menurun tetapi ada kalanya ia tetap turun melabuh tanpa beliau sengajakan.

Oleh itu, kenyataan Baginda ini tidak boleh dijadikan sebagai hujah kerana terdapat perbezaan yang ketara antara apa yang kadangkala berlaku kepada Abu Bakar RA tanpa beliau sengajakan dan apa yang dilakukan oleh mereka yang mengisbalkan kain mereka secara sengaja dan berterusan!

Kesimpulan

Berdasarkan hadis-hadis dan hujah-hujah yang telah dinyatakan, dapat disimpulkan bahawa:

Larangan isbaal merangkumi lelaki dan wanita;

Isbaal tidak khas buat kain sarung sahaja, sebaliknya ia merangkumi semua jenis pakaian; jubah dan seluar;

Isbaal dilarang tidak kira sama ada ia dilakukan kerana sombong atau tidak;

Larangan isbaal adalah umum ketika dalam solat dan di luar solat.

No comments:

Post a Comment

oH beloG

Salam.my

GIla Ping

Cari Member.com

www.tinjau.net

auto ping

Ping your blog, website, or RSS feed for Free

Total ping

My Ping in TotalPing.com